BATU PAHAT: Seramai 72 ahli Pemuda Muafakat Asyakirin dari Kampung Parit Tengah di Parit Yaani, dekat sini melakukan kerja amal dengan membantu memindahkan mangsa banjir yang uzur dan orang kurang upaya (OKU).
Ahli Jawatankuasanya, Hamrizal Hamdan berkata, mereka menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan seramai lima atau enam orang bagi setiap pasukan untuk melakukan tugas sebaik menerima maklumat mangsa yang memerlukan bantuan.
Kerja sukarela itu dilakukan sejak banjir berlaku di kawasan Parit Yaani Selasa lalu dan sudah pesakit yang lumpuh dan warga emas uzur berjaya dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Langkah ini dilakukan sebagai usaha pihak kami membantu pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa terkandas, namun menyerahkan tugas menyelamatkan mangsa sekiranya keadaan tidak sesuai menggunakan kenderaan.
“Kami melakukan bantuan ini berikutan semua ahli terlibat tahu selok belok jalan setiap kampung terlibat banjir yang secara tidak langsung dapat mengelak daripada menggunakan laluan berbahaya untuk membawa mangsa keluar dari kawasan penempatan masing-masing,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani, hari ini.
Keadaan banjir yang naik mendadak sehingga paras dua meter di sesetengah penempatan menyebabkan ramai mangsa terpaksa dibawa keluar oleh anggota pasukannya serta pasukan penyelamat.
“Kami akan terus bersiap sedia di beberapa PPS dalam Parit Yaani ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada mangsa yang memerlukan bantuan segera untuk dipindahkan,” katanya. – UTUSAN