Warga emas maut makan ikan buntal, suami masuk ICU - Utusan Malaysia

Warga emas maut makan ikan buntal, suami masuk ICU

IKAN buntal yang dimakan pasangan warga emas sehingga menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas maut, manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang akibat keracunan makanan selepas memakan ikan buntal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, mangsa, Lin Xiu Wan,  83, dan suaminya, Huang Chuan Xin, 84, membeli ikan itu menerusi platform media sosial dan menerimanya pada 25 Mac lalu.

“Mereka membersihkan dan memasak ikan buntal itu untuk makan tengah hari kira-kira pukul 3 petang, namun mangsa wanita mula mengalami kesukaran bernafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya mula menunjukkan simptom yang sama.

“Anak lelaki mereka yang tinggal di rumah berbeza membawa mereka ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Hajjah Kalsom untuk rawatan. Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 7 malam, manakala suaminya masih menerima rawatan di ICU,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tian Soon memaklumkan kejadian itu merupakan pertama kali pasangan berkenaan memakan ikan buntal.

“Siasatan mendapati, ikan yang dipesan mereka datang daripada seorang nelayan di Endau, Mersing dan diproses oleh pengedar di Batu Pahat. Penjual itu kemudian menjual ikan tersebut secara dalam talian dengan 15 kilogram ikan buntal dijual kepada empat pelanggan di Chamek, empat di Paloh dan seorang di Yong Peng pada hari sama.

“Selain pasangan itu, pelanggan lain masih belum memakan ikan tersebut tetapi Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mendapatkan sampel ikan daripada penjual untuk analisis,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan apa yang mereka makan, terutamanya apabila berkaitan dengan makanan yang diketahui mempunyai risiko kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya