KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu sebanyak 18,740 unit kuarters guru tidak diduduki setakat Mac 2023.
Timbalan menterinya, Lim Hui Ying berkata, KPM berusaha untuk mencari penyelesaian bagi kuarters-kuarters yang tidak diduduki supaya tidak berlaku pembaziran.
“Secara keseluruhan, jumlah kuarters guru KPM adalah sebanyak 47,947 unit, di mana sebanyak 29,207 unit kuarters sedang diduduki manakala 18,740 unit kuarters tidak diduduki.
“Bagi kuarters guru yang tidak diduduki, KPM telah melantik perunding hartanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara.
“Skop kajian adalah merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong di seluruh negara. Kajian ini dijangka selesai pada akhir April 2023,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini..
Selain itu, KPM memberi fokus kepada kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kuarters guru yang didiami berdasarkan tahap kerosakan yang kritikal seperti kerosakan bumbung, pendawaian elektrik, perpaipan, kerosakan tandas, kumbahan dan kerosakan struktur bangunan.
“Kerosakan kuarters yang melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Manakala, kerosakan kuarters yang tidak melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh KPM. Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR dan KPM bagi memastikan skop kerja dipatuhi mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN