100 kanak-kanak ceria terima bantuan persekolahan - Utusan Malaysia

100 kanak-kanak ceria terima bantuan persekolahan

Bantuan persekolahan
TENGKU ZAFRUL Tengku Abdul Aziz (tengah) bersama semua penerima bantuan itu di Kampung Pasir Tuntong, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kegembiraan terpancar pada wajah 100 kanak-kanak apabila menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Tengku Zafrul Aziz (TZA) di Kampung Pasir Tuntong di sini, hari ini.

Kesemua mereka merupakan pelajar sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun daripada golongan anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan.

Penerima, Zaiti Zuliza Yup, 36, sumbangan berupa beg dan peralatan sekolah itu jelas membantu meringankan beban kehidupan keluarganya.

“Umum mengetahui kos sara hidup kini semakin meningkat dan menjejaskan golongan kurang berkemampuan.

“Justeru, bantuan seumpama ini amat diperlukan ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang bakal dibuka dalam tempoh seminggu lagi,” kata ibu kepada empat anak itu ketika ditemui pada program Back To School itu petang tadi.

Terdahulu, bantuan termasuk sejumlah wang tunai itu diserahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Bagi kakitangan kerajaan, Tengku Mohd Fahmi Tengku Nasaruddin, 37, dia sekeluarga menghargai sumbangan seumpama itu yang kali pertama diterimanya tahun ini.

“Bantuan itu membantu persiapan sekolah anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun. Saya berharap sumbangan itu dapat diteruskan kepada golong sasaran yang memerlukan perhatian semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kampung berkenaan merupakan destinasi kedua beliau ke Kuala Selangor selepas memegang jawatan menteri tersebut.

“Daerah ini meninggalkan pelbagai kenangan manis kepada saya ketika bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini. Biarpun tewas, saya akan terus membantu rakyat bukan saja di Kuala Selangor malah di seluruh negeri ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN