JEMPOL: Seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai dihempap pokok kelapa dalam kejadian di Felda Palong 8, di sini, petang tadi.
Ketua Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hazren Mohd. Zahar berkata, sepasukan anggota dari balai bomba tersebut telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 1 petang.
“Mangsa merupakan seorang wanita warga emas berusia 66 tahun, berdasarkan maklumat dari jiran, mangsa ketika itu sedang menyapu dan membakar sampah di bawah pokok kelapa dan secara tiba-tiba pokok berkenaan tumbang.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas. Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 2.56 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN.