GUA MUSANG: Seorang wanita yang hamil enam bulan sebak selepas set kelengkapan menyambut anak keduanya bernilai RM1,000 hangus dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di kawasan perumahan Kuarters Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Jalan Sungai Terah di sini terbakar semalam.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa Nurul Zazida Hasmira Rodzi, 30, tiada dilokasi kerana berada di rumah ibunya yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang.
Nurul Zazida Hasmira berkata, kebakaran itu hanya diketahui selepas menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan dia terus bergegas pulang dan terkejut mendapati rumah sewanya sudah hangus sepenuhnya.
“Membuatkan saya menjadi lebih sebak apabila segala kelengkapan bayi yang dibeli beberapa hari lalu sebagai persediaan bersalin tidak lama lagi turut hangus terbakar.
“Saya sudah membelanjakan RM1,000 untuk membuat persediaan menyambut anak keduanya itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Nik Zurita Yahya, 39, memberitahu semasa kejadian dia sedang bekerja dan bersyukur apabila lima anaknya yang berusia antara empat hingga 13 tahun terselamat dalam kebakaran itu.
Katanya, semasa kejadian semua anak-anaknya berada di luar rumah dan sempat menyelamatkan diri.
“Buat sementara waktu kami akan menumpang di rumah keluarga yang terletak di PPR Gua Musang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran itu.
Katanya, anggotanya memulakan operasi pada pukul 6.27 petang dan api berjaya dikawal sembilan minit kemudian.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN