ROMPIN: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan pertembungan antara kereta dan lori tangki di Jalan Bahau-Keratong di Muadzam Shah di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia, Rosnah Saadon, 56, dan difahamkan menetap di Felda Bukit Sagu, di Kuantan dk sini.
Difahamkan penumpang kereta yang terbabit dalam kemalangan itu adalah pasangan suami isteri bersama anak mereka dan setakat ini identiti mereka masih belum diperolehi.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pertembungan itu mengakibatkan bahagian depan lori tangki terbakar manakala kereta terbabit remuk teruk.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM (Pahang) menerima laporan kemalangan itu kira-kira pukul 10.03 pagi hari ini.
“Sebuah jentera bersama lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan.
“Terdapat tiga penumpang dalam kereta terbabit dan dua daripadanya iaitu seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam.
“Seorang lagi mangsa yang merupakan seorang wanita tersepit dalam kereta yang remuk dan pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zulfadli berkata, mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian petugas kesihatan yang turut serta dalam operasi menyelamat.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan susulan dan pemandu lori tangki tersebut terselamat malah tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN