Wan Rosdy tawar diri tanding Naib Presiden UMNO - Utusan Malaysia

Wan Rosdy tawar diri tanding Naib Presiden UMNO

WAN ROSDY Wan Ismail (duduk, kiri) menghantar borang pencalonan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada pukul 3 petang hari ini.

Sebelum itu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menyerahkan borang bertanding jawatan sama kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut menghantar pencalonan jawatan sama.

Beberapa pemimpin turut dikatakan berminat untuk bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti kali ini.

Jawatan Naib Presiden UMNO disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Setakat ini Mahdzir dan Mohamed Khaled sudah mengumumkan akan mempertahankan jawatan itu namun belum ada sebarang kenyataan daripada Ismail Sabri.

Wan Rosdy berkata, pencalonannya bagi merebut jawatan itu adalah atas dasar kesedaran beliau akan kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.

“Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, ianya mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya