TVET berimpak tinggi secara holistik sinergi lanskap pendidikan negara - Utusan Malaysia

TVET berimpak tinggi secara holistik sinergi lanskap pendidikan negara

WARGA UMP menyaksikan Perutusan Menteri Pendidikan Tinggi secara dalam talian di UMP Pekan di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pelaksanaan konsep Malaysia Madani yang turut menyentuh keperluan meneroka aspek pendidikan adalah usaha untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara ini bagi memastikan ilmu menjadi keutamaan sekali gus melahirkan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan budaya ilmu.

Ini termasuklah untuk melaksanakan program pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) berimpak tinggi secara holistik.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, universiti itu menyambut baik hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Amanat Tahun Baharu 2023 yang menyatakan bakal melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem TVET nasional dengan melihat data dan megatrends yang ada serta membangun sinergi pelbagai sektor serta lapangan.

“TVET di Malaysia asalnya dikendalikan oleh agensi dan kementerian yang berbeza. Justeru, masing-masing saling menuntut bahawa graduan mereka terbaik. Di sini timbul persaingan tetapi bukannya bersinergi untuk melahirkan graduan TVET yang mampu memenuhi kehendak pasaran.

“Malah senario ini semakin disedari sehingga wujudnya Majlis TVET Negara pada 18 Disember 2020 untuk menyelaraskan pelaksanaan TVET di peringkat nasional.

“Usaha ini dikukuhkan lagi dengan Sistem Penarafan Tunggal yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia bertujuan menyeragamkan program TVET di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

YUSERRIE ZAINUDDIN

Yuserrie berkata, walaupun banyak agensi menawarkan program TVET pelbagai peringkat, matlamatnya tetap sama iaitu menyediakan tenaga mahir kompeten yang dapat memenuhi kehendak pasaran atau pemegang taruh.

Justeru, itu katanya, UMP sebagai salah sebuah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang merupakan Penyedia Pendidikan Tinggi dalam bidang TVET ini sentiasa peka terhadap permintaan semasa dan masa hadapan pemegang taruh, khasnya industri dalam memastikan program-program ditawarkan sentiasa relevan.

“Kurikulum dikemas kini dengan memastikan elemen pendigitalan, realiti maya, internet of things, analitik data diadun bersama dalam pembelajaran,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, penuntut pula didedahkan dengan pengalaman industri selama enam bulan hingga satu tahun sepanjang pengajian bagi memastikan mereka didedahkan dengan teknologi terkini dan termaju.

“UMP juga sentiasa berusaha memastikan tenaga pengajar bidang TVET adalah kompeten dan mempunyai pengalaman industri dan mereka harus peka dengan teknologi masa depan di samping bijak mengaplikasikan kesesuaian teknologi,” katanya.

Berhubung proses ‘memanusiakan manusia’, beliau berkata, UMP mempunyai formula tersendiri bagi mencorak pencapaian unggul mahasiswa secara holistik yang dilaksanakan menerusi Akademi Adab Universiti Malaysia Pahang (ADAB@UMP) merupakan penjenamaan daripada Pusat Ko-Kurikulum UMP.

“Bagi melahirkan insan yang berakhlak mulia, seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, pihak universiti telah melaksanakan konsep pembangunan pelajar melalui konsep kepimpinan A.D.A.B iaitu Adab, Dinamik, Pantas dan Seimbang yang akan menjadi ‘DNA’ penuntut UMP di mata dunia.

“Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum menjadi agenda utama universiti berdasarkan lapan Teras Pembangunan Mahasiswa terdiri daripada kepimpinan, kebudayaan, kesukanan, khidmat komuniti, kesukarelawan, keusahawanan, daya usaha dan inovasi serta pengucapan awam.

“Usaha ini seiring dengan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diacu berteraskan enam tonggak iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya