Tiga maut kereta bertembung treler dalam kemalangan di Jalan Muadzam-Rompin - Utusan Malaysia

Tiga maut kereta bertembung treler dalam kemalangan di Jalan Muadzam-Rompin

SEBUAH Perodua Myvi remuk dan terperosok di bawah treler dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan itu di kilometer 27 Jalan Ibam - Rompin, dekat kilang Farm Fresh, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Tiga maut termasuk dua beradik dalam kemalangan ngeri melibatkan pertembungan sebuah treler dan kereta Perodua Myvi di kilometer 27 Jalan Ibam – Rompin, dekat kilang Farm Fresh kira-kira pukul 10.08 malam tadi.

Mangsa yang maut pemandu dan penumpang Perodua Myvi, Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22 dan adik beradik, Nazira Ramli, 23, serta adiknya, Suhada, 22, yang beralamat di Felda Selendang di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, pemandu lori jenis Nissan, Muhammad Helmi Abdul Rahman selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang dipandu Suhada dari arah Muadzam ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan sebelum melanggar lori treler yang datang dari arah hadapan.

“Susulan pertembungan itu, pemandu dan dua penumpang kereta meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SUHADA Ramli (kiri), Nazira (tengah) dan Nurul Natasha Ahmad Akbal (kanan) maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan treler di kilometer 27 Jalan Ibam – Rompin, dekat kilang Farm Fresh, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. – FOTO IHSAN JBPM PAHANG

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat kemalangan tersebut.

Katanya, setibanya di lokasi, bomba mengesahkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah treler dengan kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Dalam kemalangan terbabit, anggota bomba mendapati kenderaan Myvi remuk teruk hingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa itu tersepit.

“Semua mangsa itu disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang turut ada di lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya