PASIR MAS: Seorang lelaki warganegara Thailand yang bertindak sebagai tekong darat dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatanya menyeludup 97 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan semak di Kampung Sapi, Jeram Perdah di sini, kelmarin.
Kesemua PATI warganegara Myanmar yang berusia antara 16 hingga 58 tahun itu, dicekup oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dan anggota dari Balai Polis Jeram Perdah semasa bersembunyi di dalam kawasan semak pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa sedang melakukan pemerhatian dilokasi anggota bertugas telah ternampak seorang lelaki berjalan masuk ke dalam kawasan semak dengan membawa bungkusan plastik makanan dalam keadaan yang mencurigakan.
Menurutnya, suspek kemudiannya menyerahkan bungkusan plastik dibawanya kepada sekumpulan lelaki dan perempuan yang berada di dalam kawasan semak tersebut.
“Pegawai dan anggota PGA terus menjalankan serbuan sebelum menemui 97 PATI warganegara Myanmar. Daripada jumlah tersebut 78 PATI itu adalah lelaki dan selebihnya wanita.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua warganegara Myanmar itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah memasuki negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, suspek yang bertindak sebagai tekong darat turut dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah di sini untuk tindakan lanjut bersama 97 PATI tersebut.
Katanya, anggota PGA turut merampas sebuah telefon pintar dan wang tunai sebanyak RM3,000 disyaki hasil daripada kegiatan pemerdagangan manusia bersama tekong darat itu.
“Suspek itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA manakala 97 PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih diteruskan,” ujarnya.-UTUSAN