KOTA BHARU: Seorang tauke kedai emas disini rugi RM17,000 apabila seutas gelang tangan yang dijual di premisnya dilarikan seorang lelaki selepas berpura-pura sebagai pelanggan dalam kejadian semalam.
Difahamkan sebelum itu, lelaki berkenaan telah datang ke kedai berkenaan sehari sebelum kejadian dan melakukan tinjauan dan melihat kemas yang dijual di premis berkenaan untuk anaknya.
Pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, 25 berkata, semasa kali pertama datang ke premis itu lelaki tersebut memberitahu mahu membeli seutas gelang untuk anak perempuannya dengan anggaran RM 1,000.
Menurutnya, pada masa sama lelaki itu turut melihat beberapa jenis gelang yang dipamerkan di dalam kotak cermin di premis tersebut.
“Lelaki itu kemudian memberitahu dia akan datang keesokan harinya (Ahad) dan turut mengambil gambar beberapa utas gelang menggunakan telefon bimbit.
“Lelaki itu kembali semula semalam dan memberitahu anaknya tidak suka dengan corak gelang berharga RM1,000 dan meminta saya menunjukkan reka bentuk lain yang lebih besar dengan harga sekitar RM2,000,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, lelaki itu kemudian mengubah fikiran meminta dia untuk menunjukkan gelang yang bersaiz lebih besar dengan anggaran nilai RM17,000.
Katanya, lelaki yang memakai topi dan berkulit gelap itu meneliti gelang itu dengan penuh minat serta tidak menunjukkan sebarang perlakuan curiga.
“Namun tidak sampai 10 minit ketika lelaki itu meneliti gelang tersebut, saya menyedari dia telah bertindak melarikan diri.
“Saya telah mengejar lelaki terbabit bersama orang awam yang berada di kawasan berhampiran namun dia berjaya meloloskan diri,” ujarnya.
Zulkifli berkata, dia berharap orang yang terbeli barangan kemas itu dapat memulangkan semula kepadanya.-UTUSAN