KUALA LANGAT: Taktik satu sindiket membuat pengisian di stesen minyak bagi menyeleweng diesel subsidi tumpas apabila digempur pihak berkuasa di sekitar Telok Panglima Garang, Banting di sini, semalam.
Kegiatan pengisian minyak itu dilakukan secara berulang dan dihantar ke stor atau premis tanpa nama bagi mengelak dikesan.
Helah itu bagaimanapun dihidu pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang membawa kepada penahanan dua lelaki dan rampasan diesel rampasan berjumlah RM43,000.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, operasi hasil risikan selama sebulan dan maklumat awam itu dilakukan pihaknya kira-kira pukul 12 tengah hari dan ketika serbuan seorang lelaki Bangladesh dilihat berlegar di premis itu, namun tiada aktiviti pengagihan minyak dikesan.
“Tidak lama kemudian, seorang lelaki disyaki pemilik premis muncul dan kedua-dua mereka ditahan bagi tindakan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut antaranya membawa kepada sitaan dua lori tangki, empat penyedut minyak bermeter dan 20,000 liter diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Zuhairi, nilai keseluruhan sitaan dan rampasan itu dianggarkan RM711,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi seumpama itu dan akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di negeri ini. – UTUSAN