PASIR MAS: Tiga minggu lagi Nurul Nazatul Ain Muhaimin, 34, dijangka melahirkan anak keempatnya hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta Mohd. Mohaimi Mohammad, 35, yang merupakan Pegawai Bomba Kanan II, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini.
Bagaimanapun, Nurul Nazatul diuji apabila suaminya meninggal dunia pada pukul 4.42 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, semasa sedang menerima rawatan lanjut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kampung Jal Besar, Tumpat.
Kemalangan itu berlaku, semasa Mohd. Mohaimi dari Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang dalam perjalanan ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Nurul Nazatul Ain berkata, dia reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Ilahi itu.
“Pada pukul 8.30 pagi semalam, saya ada menghubungi arwah beberapa kali namun tidak dijawab. Selepas itu, saya ada menghantar mesej menerusi aplikasi WhatApps namun tiada jawapan.
“Ketika itu timbul perasaan ‘takut’ dan berdebar serta bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku kepada suami. Namun saya cuba tenangkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tok Sangkut di sini hari ini.
Nurul Nazatul memberitahu, setengah jam kemudian dia menerima panggilan daripada mentuanya yang memaklumkan suami kemalangan jalan raya.
Katanya, suami yang ketika itu berada dalam keadaan krtikal kemudian telah dikejarkan ke HUSM Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Allah lebih menyayanginya apabila suami disahkan meninggal dunia pada pukul 4.42 pagi tadi. Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan kelakuan pelik malah sempat menghantar anak sulung kami yang berusia 10 tahun ke sekolah semalam.
“Arwah turun dari rumah lebih awal berbanding kebiasaannya. Sebelum arwah turun dari rumah, saya sempat memberitahunya memerlukan wang untuk membeli kelengkapan semasa berpantang. Biasanya arwah akan memindahkan wang tersebut ke akuan saya, namun semalam dia tidak sempat untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut di sini selepas solat Jumaat.-UTUSAN