KLANG: Penantian lebih 20 tahun penduduk di Pangsapuri Seri Perantau bakal berakhir apabila pengurusan dan hak milik strata diserahkan kepada mereka secara keseluruhan pada Ogos tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mengenal pasti 17 langkah dan 10 daripadanya sudah diselesaikan sebelum status strata diserahkan kepada kira-kira 800 pemilik di 12 blok pangsapuri tersebut.
“Masalah tersebut adalah berhubung pembayaran bil-bil tertentu. Sehubungan itu semalam saya bersama Perdana Menteri berbincang tentang masalah tunggakan bayaran selenggaraan pangsapuri-pangsapuri di Selangor.
“Alhamdulillah Perdana Menteri meluluskan sebahagian peruntukan (untuk tujuan pembayaran penyelenggaraan). Saya akan susuli hari Isnin, semasa kita ada mesyuarat langsung dengan Perdana Menteri. Tuan-tuan jangan risau kita akan selesaikan isu hak pemilikan hak strata terlebih dahulu dan isu tunggakan lain juga,” katanya ketika berucap pada Program Kita Selangor Penyayang di Pangsapuri Seri Perantau hari ini.
Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2021 dilaporkan akan menyelesaikan masalah Sijil Layak Menduduki (CF) dan hakmilik strata penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang mengikut jadual yang ditetapkan oleh pemajunya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Amirudin Shari ketika itu menjelaskan, masalah CF dijangka selesai dalam tahun tersebut iaitu suku ketiga atau empat kerana melibatkan beberapa proses yang perlu disempurnakan dengan pihak terbabit. – UTUSAN