RANTAU PANJANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kuau di sini hari ini menerima sebuah van sumbangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) untuk kegunaan murid-murid yang dikenal pasti mempunyai masalah pengangkutan untuk hadir ke sekolah setiap hari.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kubang Kuau, Datuk Mohd. Faizal Daud berkata, sumbangan van jenis Toyota Hiace itu dapat menyelesaikan masalah murid yang tidak hadir ke sekolah kerana masalah pengangkutan.
“Ada ibu bapa murid sekolah ini yang mempunyai anak ramai, namun tiada kereta. Jadi, mereka terpaksa berulang alik membawa anak berkali-kali dengan menunggang motosikal ke sekolah.
“Masalah pengangkutan itu dikenal pasti menjadi antara punca kehadiran murid ke sekolah merosot. Ada murid yang tinggal sejauh 10 kilometer dari sekolah hanya hadir ke sekolah dua kali seminggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Van Sekolah Sumbangan BIMB di SK Kubang Kuau di sini hari ini.
Mohd. Faizal memberitahu, sebelum ini, pihak PIBG menyewa van untuk membantu mengambil murid-murid ke sekolah sejak empat tahun lalu.
Katanya, dengan sumbangan van baharu itu, ia sekali gus dapat merealisasikan hasrat pihak sekolah untuk memiliki kenderaan sendiri yang akan digunakan untuk mengambil dan menghantar murid-murid pulang ke rumah.
“Sumbangan ini amat bermakna untuk sekolah. Van itu akan digunakan sebaiknya untuk mengambil dan menghantar murid-murid yang dikenalpasti mengalami masalah pengangkutan untuk ke sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan BIMB, Mohd. Nazri Chik berkata, penyerahan van bernilai RM150,000 itu merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat BIMB bagi membantu murid di SK Kubang Kuau.
“Kita menerima permohonan bantuan van sekolah dari sekolah ini sejak empat tahun lalu. Disebabkan pelbagai kekangan terutamanya pandemik Covid-19, BIMB akhirnya dapat menyerahkan van tersebut hari ini,” katanya.-UTUSAN