Serbuan penempatan haram: Warga asing tiada niat pulang ke negara asal - Utusan Malaysia

Serbuan penempatan haram: Warga asing tiada niat pulang ke negara asal

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai, Seremban, awal pagi 1 Februari lalu.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan, kesemua warga Indonesia yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah penempatan haram di Nilai di sini baru-baru ini tidak berniat untuk pulang kembali ke negara mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, berdasarkan pemeriksaan, kesemua 67 orang warga asing itu sebaliknya ingin terus berada di negara ini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen yang sah.

Ujar beliau, perkara tersebut berdasarkan dapatan iaitu penempatan tersebut merupakan sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam kawasan hutan.

“Ia berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya, akses ke kawasan tersebut dengan berjalan kaki adalah sejauh 1.2 kilometer, dikelilingi besi serpihan jerat serta anjing liar serta mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit set generator dan sekolah yang menggunakan sukatan pelajaran pendidikan negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang bertajuk Suruhanjaya Indonesia kecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring yang disiarkan baru-baru ini.

Menurut Khairul Dzaimee, dalam operasi pukul 1.30 pagi pada 1 Februari itu, seramai 68 orang warganegara Indonesia telah diperiksa dan seramai 67 orang berumur di antara dua bulan hingga 72 tahun telah ditahan.

Mereka terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 orang kanak-kanak perempuan. 

Jelasnya, antara kesalahan yang telah dikenal pasti ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

Kata beliau, kesemua tahanan berkenaan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, di sini untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. 

“Berkenaan aspek kebajikan tahanan di depot-depot tahanan Imigresen, JIM sentiasa komited memastikan ia sentiasa terjaga dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak.

“JIM sentiasa memastikan aspek keselamatan dan kebajikan warga asing khususnya kanak-kanak sentiasa dilindungi. Perkara ini juga telah menjadi agenda perbincangan semasa pertemuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Tenagakerjaan dan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia pada 31 Januari 2023 yang lalu,” katanya.

Khairul Dzaimee menjelaskan lagi, kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.

Ia termasuklah keperluan untuk memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat-syarat pas yang dikeluarkan.

“JIM akan sentiasa memastikan perkara ini dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi. JIM sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan pada kadar segera,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini juga tidak mempunyai kaitan dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Januari 2023 yang lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya