KOTA BHARU : Selangor FC enggan memandang rendah kemampuan Kelantan United (Kelantan United) pada aksi pembuka tirai Liga Super pada 26 Februari ini walaupun pasukan itu merupakan pendatang baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, kebiasaannya setiap pasukan akan memperagakan semangat luar biasa pada perlawanan pertama kerana mahu membuktikan kekuatan dan kehebatan masing-masing.
“Bagi kami Kelantan United bukan calang-calang pasukan dan mereka juga telah membawa masuk ramai pemain berpengalaman yang pasti tahu cara-cara mengatasi perasaan gemuruh di atas padang.
“Malah ketua jurulatih mereka, Tomas Trucha pernah menunjukkan rekod sangat baik apabila berjaya membawa Penang FC menduduki tangga ketiga liga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemasyhuran Kerjasama Strategik Liga Malaysia 2023 antara Konsortium E-Mutiara, Selangor FC dan Kelantan United di sini hari ini.
Dr. Johan memberitahu, Kelantan United dilihat mempunyai barisan pemain lebih berkualiti pada musim ini dan pertemuan pertama nanti pasti akan menjanjikan saingan yang sangat menarik antara kedua-dua pasukan.
Katanya, Selangor FC bagaimanapun masih memerlukan satu atau dua minggu lagi untuk persediaan berikutan barisan pemain lambat dikumpulkan kerana ada antara mereka terlibat dengan tugasan kebangsaan.
“Namun kita tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan. Barisan pemain juga tahu mereka adalah pemain profesional dan memikul tanggungjawab besar. Insya Allah mereka akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu Presiden Kelantan United, Rozi Muhamad sedar pasukannya bakal berdepan cabaran besar kerana bakal bertemu salah satu nama besar dalam arena bola sepak tempatan pada pentas pembukaan Liga Super musim ini.
“Kita perlu berdepan dengan semua pasukan dalam Liga Super tanpa mengira nama besar atau kecil. Kebetulan untuk perlawanan pertama musim ini kita perlu berdepan Selangor.
“Kami di pihak Kelantan United akan cuba memberikan saingan sengit pada perlawanan itu nanti dan tidak mahu memberi kemenangan mudah kepada Selangor FC,” katanya.-UTUSAN