Sebanyak 95 peratus Aduan Suri berjaya diselesaikan - Utusan Malaysia

Sebanyak 95 peratus Aduan Suri berjaya diselesaikan

FUZIAH SALLEH (dua dari kanan) menunjukkan pengimbas QR Aduan Suri pada Majlis Pelancaran Aduan Suri di pusat beli-belah Lotus Tebrau, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 95 peratus daripada aduan yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp ‘Aduan Suri’ diambil tindakan dan berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, lebih 900 aduan diterima sejak medium itu dilancarkan sejak 11 Januari lalu.

Menurutnya, kebanyakan aduan itu melibatkan kenaikan harga barang yang melampau, kekurangan bekalan dan penipuan pembelian dalam talian.

“Menerusi mekanisme ini, pengadu hanya perlu mengimbas kod QR tersebut dan akan terus disalurkan ke aplikasi WhatsApp aduan KPDN. Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan suri rumah untuk bertindak dalam memperkasakan hak sebagai pengguna.

“Kita sekarang dalam proses menambah baik sistem supaya lebih efektif dan efisien. Kita juga akan perluaskan hebahan penggunaan kod QR ini untuk ditampal di tempat awam termasuk di pasar raya dan premis perniagaan.

“Ini bagi membolehkan pengguna membuat aduan secara serta-merta. Setiap aduan yang diterima berjaya diselesaikan dalam tempoh 14 hari. Malah, menerusi ‘Aduan Suri’ ini juga, maklum balas aduan segera dibuat dalam tempoh dua jam berbanding sehari sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Johor di  pusat beli-belah Lotus Tebrau, di sini hari ini.

Hingga kini, kira-kira 1,000 pelekat ‘fridge magnet’ Kod QR Aduan Suri telah diedarkan kepada suri rumah bermula di Kedah dan Johor.

Fuziah berkata, statistik penerimaan aduan menunjukkan inisiatif Aduan Suri mampu memperkasakan hak suri rumah sebagai golongan pembeli dan pengguna.

“Kita banyak terbaca dalam media sosial, pengguna meluahkan rasa tidak pasti dalam Facebook, namun tidak membuat aduan kepada saluran yang betul.

“Pegawai penguat kuasa kita perlu maklumat lengkap seperti masalah yang dialami berserta nama premis dan lokasi untuk memudahkan tindakan diambil,” katanya. 

Pada tahun lalu,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sebanyak 29,965 aduan kepenggunaan dan daripada jumlah itu 13,755 aduan  daripada pengadu wanita.

Dalam tempoh sama, aduan berkaitan transaksi dalam talian adalah tertinggi, iaitu sebanyak 8,847, diikuti harga barangan (7,259) dan perkhidmatan mengelirukan (6,095). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya