SAR ditamatkan, keluarga teruskan cari Akmal - Utusan Malaysia

SAR ditamatkan, keluarga teruskan cari Akmal

ISHAK KAMIS (kiri) dan saudara mara yang lain akan terus mencari Muhamad Akmal di Pulau Mawar meskipun SAR ditamatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemuda yang dipercayai hilang ketika mendaki Pulau Mawar yang digerakkan sejak Jumaat lalu ditamatkan semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, SAR melibatkan pelbagai agensi dan aset itu ditamatkan selepas lima hari dijalankan ekoran  tidak menemukan petunjuk walaupun pencarian melibatkan kawasan darat dan perairan telah dilakukan.

“Jika ada petunjuk yang relevan, kita akan buka semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19 dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Makmur, Kluang sejak Rabu lalu, namun motosikalnya ditemukan di kawasan Pulau Mawar.

Sementara itu, bapa mangsa, Ishak Kamis, 58, memberitahu,pihak polis memaklumkan untuk menamatkan SAR kerana tiada petunjuk baharu ditemukan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Saya bersama mereka dari mula dan lihat kesungguhan dan cara kerja mereka untuk mencari Akmal di semua tempat,” katanya.

Walaupun SAR melibatkan pelbagai agensi ditamatkan, namun dia dan saudara mara lain akan meneruskan pencarian anaknya itu di pulau berkenaan termasuk dengan bantuan pengamal perubatan Islam.

“Kita cuba usaha sendiri yang mampu. Buat masa ini saya teruskan dengan cara bantuan pengamal perubatan Islam, ada ustaz yang datang secara sukarela mahu membantu kami.

“Ada juga yang bantu melakukan solat hajat, bacaan al-Quran dari jauh. Lebih lima ustaz yang membantu. Rata-rata mereka cakap ada kesan Akmal dalam pulau itu lagi dan dapat rasa anak kami masih ada di dalam,” katanya. 

Usaha mencari anaknya itu akan dilakukan sendiri hingga Ahad ini sebelum pulang ke Kluang, katanya sambil memaklumkan kini isterinya, Saniah Bidin, 53, juga tidak sihat selepas menerima berita itu.

“Beberapa hari lalu dia dimasukkan ke Hospital Mersing kerana sakit dada, macam hendak pengsan mungkin terlalu menahan sebak. Sekarang keadaannya semakin baik, berada di chalet yang kami sewa di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya