Sang bedal muncul lagi di tali air perumahan Cenderawasih - Utusan Malaysia

Sang bedal muncul lagi di tali air perumahan Cenderawasih

SEEKOR buaya tembaga berjemur berhampiran tali air di perumahan Cenderawasih di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kehadiran seekor buaya yang berjemur berhampiran tali air di perumahan Cenderawasih di sini hari ini bukan perkara baharu malah sudah tiga kali sang bedal itu muncul di kawasan berkenaan tahun ini.

Buaya tembaga sepanjang lebih tiga meter itu muncul kira-kira pukul 4 petang tadi, sebelum turun semula ke dalam air selepas tiga jam kemudian.

Tinjauan mendapati, kemunculan reptilia itu mencetuskan keterujaan buat penduduk yang mula hadir ke kawasan berkenaan untuk melihat haiwan buas itu pada jarak dekat.

Seorang penduduk, Mohd. Shahril Mohamad Anuar, 43, berkata, haiwan berkenaan kebiasaanya muncul ketika air pasang atau musim banjir.

“Biasanya sang bedal ini muncul sekejap sahaja untuk berjemur dan akan turun semula apabila air surut.

“Setakat tahun ini sahaja sudah tiga kali buaya muncul di tali air berkenaan malah ada yang bersaiz lebih besar daripada kali ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

ORANG ramai teruja melihat seekor buaya tembaga berjemur berhampiran tali air di perumahan Cenderawasih di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, S. Chandra, 58, berkata, kemungkinan buaya kerap timbul kerana ada pihak gemar membuang sisa makanan ke dalam tali air hingga menarik kehadiran buaya berkenaan.

Jelasnya, sebelum ini pihak Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah meletakkan papan tanda peringatan bagi memastikan keselamatan penduduk, namun sudah hilang.

“Walaupun belum pernah berlaku perkara tidak diingini namun kebimbangan tetap ada terutama pada musim banjir kerana ada rumah terletak berhampiran tali air itu.

“Namun, setakat ini belum pernah berlaku perkara tidak diingini kerana buaya itu hanya timbul untuk berjemur dan penduduk juga tidak pernah mengganggu haiwan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya