KUANTAN: Jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada pemilihan parti berkenaan bulan depan.
Setakat ini dua nama sudah mengesahkan bertanding jawatan itu iaitu Timbalan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Pengerusi Biro Penerangan UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Arif.
Seorang lagi yang difahamkan turut berminat menawarkan diri merebut jawatan itu Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Zamri ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan beliau menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan.
“Saya tiada masalah beberapa penjuru pun pertandingan bagi merebut jawatan ini (Ketua UMNO Bahagian Pekan), saya okay,” katanya di sini.
Zamri berkata, keputusan tersebut diharap membantu mengukuhkan UMNO Bahagian Pekan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan itu memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian pada Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda ke atas Najib.
Sementara itu, Mohammad Fakhruddin dalam kenyataannya turut mengesahkan menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.
Menurutnya, selaku ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) selama dua penggal sejak 2018 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar tiga penggal bermula 2013, beliau yakin kini tiba masanya untuk menabur bakti serta keringat demi kejayaan UMNO Pekan.
“Saya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan kepimpinan UMNO negeri diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta hubungan baik dengan kementerian dan agensi-agensi kerajaan.
“Dengan prestasi yang cukup baik, pengalaman yang luas, kejayaan yang terbukti serta hubungan baik dengan semua pihak, saya yakin mampu mengemudi dan mengukuhkan kembali kedudukan dan kegemilangan UMNO Pekan di mata pengundi dan masyarakat yang berbilang kaum di Pekan,” katanya.
Dalam pada itu, Sh Mohmed Puzi pula berkata, masih ada masa lagi untuk beliau memutuskan sama ada bertanding ataupun tidak jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan.
“Sesiapa yang sudah umum menawarkan diri bertanding, itu terserah kepadanya,” katanya.
UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan Perlembagaan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pemilihan itu akan membabitkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang digantung. – UTUSAN