Rundingan kerusi PRN: DAP NS cadang parti penyandang kekal bertanding - Utusan Malaysia

Rundingan kerusi PRN: DAP NS cadang parti penyandang kekal bertanding

ANTHONY Loke Siew Fook (baris depan, empat dari kanan) dan Aminuddin (baris depan, tengah) pada Konvensyen Tahunan Kali Ke-21 DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan mencadangkan agar parti yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu kekal bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Pengerusinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan tersebut sebagai prinsip bagi memulakan rundingan di antara Pakatan Harapan (PH) di negeri ini bersama Barisan Nasional (BN) berkaitan pembahagian 36 kerusi DUN untuk ditandingi di negeri ini.

“Itu memang cadangan kami, untuk memulakan proses rundingan ini sudah tentu ada parameter dan prinsip rundingan, jadi cadangan kami, mana (kerusi) yang sudah menang kekal dengan parti penyandang, itu prinsip sebagai permulaan, itu cadangan saya.

“Tetapi apapun, bergantung kepada proses rundingan, kami menyerahkan kebijaksanaan Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan untuk berunding di peringkat negeri.

“Mengikut pengalaman saya dalam Majlis Presiden PH biasanya kalau negeri selesai, selesailah masalah. Majlis Presiden akan menyokong cuma akan berikan sedikit prinsip dan panduan bagaimana rundingan itu perlu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kali Ke-21 DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tambahnya, dengan hubungan baik di antara PH dan BN sebelum ini, beliau yakin rundingan di antara kedua-dua gabungan tersebut di negeri ini akan berlangsung dalam keadaan baik sekali gus mencapai persefahaman yang diperlukan.

Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP bagaimanapun berkata, cadangan yang dilontarkannya itu setakat ini hanyalah dalam konteks di Negeri Sembilan.

“Di negeri lain itu ada rundingannya, di Pulau Pinang, Ketua Menteri dari DAP akan berunding, di Selangor juga akan ada rundingan, belum sampai lagi di peringat Pusat.

“Di Negeri Sembilan, mudah sahaja, DAP ada 11 kerusi yang disandang dan telah dimenangi sejak Pilihan Raya Umum Ke-13, di 11 kerusi ini juga kami capai undi majoriti di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu. 

“Oleh itu kami nyatakan hasrat untuk mempertahankan 11 kerusi ini, kami tidak minta kerusi tambahan termasuk di peringkat PH dan kami yakin dapat pertahankan kesemua kerusi ini pada PRN nanti,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, setakat ini belum ada rundingan dijalankan di antara PH dan BN di peringkat Negeri Sembilan bagi termasuk dalam soal pembahagian kerusi bagi kerjasama menghadapi PRN.

“Tentu kami akan bertemu dengan segera boleh, tiada masalah malahan saya juga boleh berjumpa dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan (Datuk Seri Mohamad Hasan) di Parlimen. 

“Kami akan berunding kemudian saya akan bawa ke peringkat Majlis Presiden PH yang kemudian akan membuat keputusan, prosedurnya begitu” katanya.

Pada PRU14 yang lalu, PH memenangi 20 kerusi daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan manakala baki 16 kerusi lagi dimenangi oleh BN.

11 kerusi yang dimenangi oleh DAP daripada 20 kerusi PH tersebut ialah Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya