ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan Rumah Pesona Wanita Johor sebagai pusat perlindungan sementara bagi mangsa keganasan rumah tangga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, pusat perlindungan itu yang akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dijangka beroperasi mulai Jun ini.
Menurutnya, pusat perlindungan yang terletak di Jalan Petri, Johor Bahru itu juga boleh digunakan oleh golongan wanita yang dalam proses perceraian.
“Rumah ini akan memberi perlindungan kepada wanita yang memerlukan bantuan seperti dalam proses perceraian dan memerlukan tempat sementara sekiranya dari luar daerah.
“Sebagai contoh, seorang wanita dari Segamat yang perlu hadir ke Mahkamah Syariah bagi proses perceraiannya boleh tinggal sementara di pusat perlindungan tersebut.
“Begitu juga mangsa keganasan rumah tangga yang dipukul dan sebagainya. Kita juga akan pastikan ia beroperasi secepat yang mungkin,” katanya selepas Majlis Sentuhan Kasih Keluarga Johor 2023, di sini yang disempunakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Khairin-Nisa berkata, kos operasi rumah perlindungan tersebut termasuk dalam peruntukan RM1 juta yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2023 yang dibentangkan Menteri Besar, akhir tahun lalu.
Dalam pada itu, Khairin-Nisa turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan Program Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor yang merupakan galakan simpanan masa depan.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam membantu rakyat supaya mempunyai simpanan untuk hari tua.
“Program Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor ini dijangka mampu memberi manfaat kepada 12,773 penerima yang layak,” katanya. – UTUSAN