LIPIS: Sebuah rumah lama dijadikan tempat berehat dan penyimpanan barang-barang pertanian milik pekebun Orang Asli, Norfini Ajik, 46, rosak dan hampir roboh ekoran pencerobohan tujuh ekor gajah liar yang terus mengganas di Kampung Simoi Lama, Pos Lenjang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Norfini ketika sampai di kebun tanaman durian, pisang, tebu dan serainya terkejut melihat rumah lama itu hampir roboh.
Menurutnya, dia terkejut melihat sebahagian dinding dan lantai kayu sudah roboh, sebatang tiang patah malah akan runtuh bila-bila masa.
“Lebih memeranjatkan saya, kawanan gajah liar terdiri daripada tujuh ekor masih berada tidak jauh sedang makan di kawasan tanaman berdekatan,” katanya di Kampung Simoi Lama di sini hari ini.
Menurut Norfini, selain peralatan rumah rosak, papan lampu tenaga solar juga dirosakkan, manakala banyak tanamannya turut musnah.
Ceritanya lanjut, memandangkan kawanan gajah liar itu masih berdekatan, dia terus lari ke kawasan matau untuk bertemu dengan beberapa orang pekerja di situ.
“Tetapi, dalam beberapa minit sahaja gajah liar ini mara ke arah matau dan kami pun beredar dari tempat ini untuk mengelakkan daripada ancaman keselamatan,” katanya.
Seorang penduduk, Atan Dan, 40, berkata, sehingga kini sudah hari kelima kawanan gajah liar itu masuk ke kampung mereka sehingga merosakkan banyak tanaman.
“Kalau rumah di kebun milik jiran saya diceroboh, kemungkinan lebih banyak lagi rumah dibina daripada kayu hutan di sini akan diceroboh dan diganggu malahan keselamatan kami juga semakin terancam,” katanya.
Ujarnya, sebaik-baiknya pihak berkuasa menangkap haiwan liar ini dibawa ke lokasi lain untuk jaminan keselamatan penduduk Orang Asli di sini dalam tempoh jangka panjang. – UTUSAN