Remaja OKU lembam lemas ketika mandi sungai

Remaja OKU lembam lemas ketika mandi sungai

LOKASI mangsa dikatakan lemas di Sungai Kombat, Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kegembiraan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam mandi sungai bersama empat rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemukan lemas di Sungai Kombat, Felda Perasu, di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, dari Felda Chiku 2 di sini dibawa ke Klinik Desa Felda Perasu dan disahkan telah meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Muhammad Fakhrul Imam dikatakan berkunjung ke Sungai Kombat selepas makan mi celup bersama empat rakannya di sebuah gerai di Felda Chiku 2.

Menurutnya, semasa berada di kedai berkenaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2 dikatakan telah berbincang bersama rakan-rakannya untuk pergi mandi sungai.

“Mereka sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 4.30 petang dan mereka mula mandi. Ketika sedang mandi, mangsa bersama seorang lagi kawannya dikatakan seperti ditarik ke tempat yang lebih dalam. 

“Menyedari Muhammad Fakhrul Imam dan seorang rakannya sudah hampir lemas, dua lagi rakannya telah menyelamatkan salah seorang mangsa untuk naik ke tebing sungai. Kemudian mereka telah cuba menyelamatkan Muhammad Fakhrul Imam dengan menggunakan sebatang kayu, tapi malangnya kayu tersebut telah patah dan mangsa kemudian telah hanyut serta tenggelam dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, rakan-rakan mangsa telah bertindak melaungkan azan dan tidak lama kemudian mangsa telah timbul.

Katanya, mereka telah membawa mangsa ke tebing sungai dan telah membuat bantuan awal pernafasan, namun sudah tidak memberi sebarang tindak balas.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat. Mengikut hasil bedah siasat kematian mangsa adalah berpunca daripada lemas.

“Berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, tidak terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian mangsa dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.

Choon Foo berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya memantau aktiviti anak-anak agar musibah yang sama tidak berulang.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya