Rebung madu jadi ‘penyelamat’ harumanis

Rebung madu jadi ‘penyelamat’ harumanis

RADZI Din membersihkan kawasan kebun buluh madu miliknya sebagai persiapan menanti musim rebung tersebut pada Mei hingga September di Kampung Nesam, Bintong, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pendapatan jualan buah mempelam harumanis yang tidak menentu mendorong seorang warga emas meng­usahakan tanaman buluh madu untuk mendapatkan rebung­nya yang mampu dijual antara RM4,000 sehingga RM5,000 setiap musim.

Pengusaha rebung madu Per­lis, Radzi Din, 72, berkata, musim rebung lazimnya dari Mei hingga September dan dalam tempoh tersebut dia mampu menjana pendapatan sampingan hasil jualannya kepada pelanggan di seluruh negara.

Katanya, kebun diusahakan itu mempunyai kira-kira 100 rumpun buluh madu yang dijaga baik dalam persekitaran yang cantik.

Jelasnya, dia mengambil inisiatif mengusahakan tanaman buluh madu itu selepas pendapatan harumanis yang diusahakan tidak menentu selain terlalu ramai menanam pokok itu di negeri ini.

“Selain harumanis yang po­pular di Perlis, rebung madu Perlis juga tidak ketinggalan menjadi pilihan dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara.

“Musim rebung madu Perlis ini bakal bermula pada Mei hingga September setiap tahun dan mampu memberi pulangan lumayan sekitar RM4,000 hingga RM 5,000 semusim,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Nesam, Bintong di sini semalam.

Menurut Radzi, dia sentiasa memastikan rebung di kebunnya itu mempunyai kualiti agar pelanggan berpuas hati.

“Saya sentiasa melakukan persiapan awal dengan membersihkan pokok-pokok buluh ini daripada unggas dan binatang perosak lain.

“Tanaman yang diusahakan ini mengeluarkan hasil rebung yang banyak. Kelebihan dan keistimewaan buluh dan rebung jenis ini tiada miang dan memudahkan pengguna mengambil dan membersihkannya,” kata­nya.

Katanya, dia membekalkan rebung madu kepada pelanggan tetap terdiri daripada penduduk setempat selain memenuhi permintaan pelanggan dari luar negeri ini.

“Kebanyakan rebung madu digunakan untuk masakan se­perti acar, gulai dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya