KUALA LUMPUR: Mahkamah semalam membenarkan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap madunya, Ira Kazar dan dua ahli keluarga wanita itu.
Pelakon itu memfailkan permohonan itu pada 31 Januari lalu iaitu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin melanggar perintah injunksi bertarikh 4 Julai 2022. Prosiding tersebut turut membabitkan bapa Ira iaitu Kazar atau nama penuhnya Kazaruddin Saisi dan kakaknya, Yasmin.
Hakim Norakhmar Mohd. Sani berkata, prosiding tersebut boleh dijalankan secara dalam talian. Prosiding tersebut disertai oleh peguam Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader yang dibantu oleh peguam-peguam, Ummi Kartini Abd. Latiff dan Faradina Abu Bakar.
Akberdin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyerahkan sesalinan permohonan komital itu kepada Ira, Kazar dan Yasmin.
“Selepas penyampaian disempurnakan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk pihak sana menjawab terhadap permohonan kami. Pada masa ini, tiada sebarang tarikh ditetapkan,” katanya yang turut memaklumkan mahkamah membenarkan permohonan itu dengan kos.
Pada Jun 2022,Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira selepas anak pelakon veteran itu mengganggu rumah tangganya.
Pada 4 Julai tahun sama, Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira dihalang daripada menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Sarah Liyana dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul.
Pada 16 Januari lalu, Sarah Liyana memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah di sini atas alasan dia tidak lagi dapat hidup sebagai suami isteri dengan Syamsul kerana sudah tidak ada persefahaman antara mereka selain telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).- UTUSAN