PRN Kelantan dijangka Julai atau Ogos

PRN Kelantan dijangka Julai atau Ogos

MOHD. Amar Nik Abdullah.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas Kelantan memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini berkemungkinan akan diadakan antara bulan Julai atau Ogos depan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan itu akan dibuat berdasarkan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berakhir 26 Jun.

Menurutnya, sebelum ini, tiga buah negeri ditadbir Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah merancang untuk mengadakan PRN pada bulan Mac, namun ia terpaksa ditangguhkan atas beberapa perkara yang berbangkit.

“Apabila perbincangan dilakukan, ramai yang berpendapat PRN yang dirancang pada Mac perlu ditangguhkan atas sebab beberapa isu termasuk tarikh bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain kedatangan bulan Ramadan.

“Secara peribadinya, jika PRN tidak dibuat sebelum Ramadan, jadi perlu tunggu sehingga tempoh penggal DUN berakhir pada 26 Jun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Timbalan Menteri Besar itu memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum mengemukakan senarai calon untuk PRN nanti namun Pas masih mengekalkan kaedah yang diamalkan sejak dahulu iaitu mengetengahkan 30 peratus muka baharu.

Katanya, bagi Kelantan secara umumnya, perbincangan berhubung pemilihan calon dan kerusi akan diputuskan oleh Pas negeri.

“Kita ada cadangan untuk memudahkan pembahagian kerusi dengan menggunakan formula sama seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ketika itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima pembahagian kerusi Parlimen yang dibuat dengan baik, tetapi, kita belum mengadakan perbincangan untuk kerusi DUN dengan mereka,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya