KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Koperasi Peserta-Peserta Felcra Nasaruddin Pemulihan Perak Tengah Berhad (KPFNP) dan Fabulous Resources Sdn. Bhd. (FRSB) bagi melaksanakan ‘Program Ladang Untuk B40’ dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi sektor pertanian menerusi penanaman getah, kelapa sawit dan durian.
Simbolik kerjasama strategik ini disempurnakan oleh Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir dan Pengerusi KPFNP, Mohd. Adib Abu Samah, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FRSB, Datuk Lai Wooi Giap di sini hari ini.
Menerusi kerjasama ini, segala urusan pembangunan dan operasi akan dikendalikan oleh FRSB yang akan berkongsi pengalaman dan kepakaran manakala pemilihan peserta dilakukan PPNP dan KPFNP.
Zuhairi berkata, kerjasama strategik antara PPNP, KPFNP dan FRSB bagi menjana pendapatan tambahan dalam sektor penanaman komoditi seperti getah, kelapa sawit dan durian, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi kumpulan berpendapatan rendah dan B40.
“FRSB akan berperanan sebagai pembiaya kepada program ini, pengurusan ladang dan penjualan komoditi manakala PPNP dan KPFNP pula akan bertanggungjawab untuk mewujudkan peserta pertanian, menyedia kemudahan ladang, bimbingan, penyelenggaraan dan mengadakan hubungan dan kerjasama dengan organisasi di sektor awam yang terlibat dengan pembangunan, penguatkuasaan dan perdagangan pertanian.
“Program ini memfokuskan kumpulan sasar berpendapatan rendah dan penduduk tempatan juga ditawarkan menyertainya, PPNP komited untuk terus memperkasakan komuniti agro menerusi program-program pertanian kami termasuklah menerusi kerjasama bersama KPFNP ini dan menyasarkan kawasan sehingga 4,046 hektar,” katanya pada majlis memeterai perjanjian kerjasama strategik itu di sini hari ini.
‘Program Ladang Untuk B40’ ini buat pertama kalinya diperkenalkan yang bakal membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup, memajukan ekonomi sektor pertanian di negeri ini yang memberi banyak manfaat, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan kepada peserta yang terlibat seterusnya menambah hasil kepada kerajaan negeri.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menumpukan kepada lima sektor termasuk sektor pertanian berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Wan Rosdy berkata, tumpuan terhadap sektor pertanian tersebut dilihat bersesuaian kerana mengambil kira penglibatan penduduk di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman dalam bidang pertanian.
Sementara itu, Mohd. Adib berkata, beliau berharap kerjasama sedemikian melibatkan organisasi dan entiti korporat terus dilaksanakan daripada masa ke semasa.
“Ia penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat terus dijana selain membantu meningkatkan lagi kestabilan jaminan keselamatan makanan negara khususnya ketika dunia kini sedang dihimpit dengan ketidakstabilan ekonomi dan ekosistem rantaian makanan,” katanya.
Sementara itu, Wooi Giap berkata, syarikat terbabit menghargai kerjasama PPNP dan KPFNP serta bersedia menilai kesesuaian termasuk mencadangkan jenis tanaman yang bersesuaian.
“Ia akan menjadi satu jalinan yang memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak yang terlibat. Program ini juga akan membuka peluang baharu kepada komuniti setempat dan kerajaan untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan menerusi program yang dicadangkan melalui kerjasama ini,” katanya. – UTUSAN