PPNP kenal pasti, lapor tanah diteroka haram untuk tindakan pihak berkuasa - Utusan Malaysia

PPNP kenal pasti, lapor tanah diteroka haram untuk tindakan pihak berkuasa

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) sedang mengenal pasti kawasan-kawasan tanah yang diteroka secara haram dan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi ‘menghalalkan’ ataupun memanfaatkannya.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, setakat ini, pihaknya sudah pun mengenal pasti beberapa kawasan terlibat dan akan mengemukakan laporan lengkap secara bertulis kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bagi mengambil tindakan selanjutnya.

“Apa yang PPNP lakukan adalah kita kenal pasti tanah diteroka haram terutama untuk pertanian. Selepas itu kita mohon kepada kerajaan negeri untuk kita urus dan ambil alih.

“Dengan cara ini, ia dapat memastikan situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai bukan saja dalam menangani penceroboh tanah, malah usaha ke arah menjana pendapatan kerajaan negeri yang ‘lolos’ ekoran pencerobohan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 memberikan tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil kerajaan negeri.

Sebagai contoh, kata Wan Rosdy, operasi penguatkuasaan perundangan tanah di Kampung Pamah Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 80.34 hektar berjaya mengekang kerugian hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM3.15 juta.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, jika tanah diteroka untuk pertanian, kerajaan negeri tidak semestinya perlu memusnahkan tanaman itu contohnya kelapa sawit yang sudah pun mengeluarkan hasil.

“Itu tidak memberi apa-apa manfaat, sebaliknya merugikan lagi kerajaan kerana perlu membelanjakan kos yang besar untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah diceroboh. Sedangkan lebih baik dengan menawarkan kepada pemain industri pertanian untuk membantu kerajaan memungut hasil dari isu yang telah pun berlaku,” katanya.

Beliau berkata, apabila permohonan diluluskan, PPNP juga akan mengambil penduduk tempatan untuk bekerja di kawasan terbabit sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

Jelasnya, pekerja terbabit juga akan dijadikan peserta ‘Program Ladang Untuk B40’ dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi sektor pertanian dan menerima manfaat dividen daripada projek berkenaan.

“Kita menyeru kepada mana-mana pihak di luar sana supaya melaporkan kepada PPNP jika tahu mana-mana tanah yang diteroka haram. Kita akan mohon kepada kerajaan negeri untuk diambil alih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya