KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang anggota polis berpangkat sarjan bagi membantu siasatan kes rasuah yang berjumlah RM7,000.
Suspek yang berusia 33 tahun itu disyaki menggunakan kedudukannya sebagai anggota polis di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai dorongan melepaskan rakan-rakan pengadu yang ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki air ketum.
Anggota polis tersebut ditahan di Pejabat SPRM Pahang semalam kira-kira pukul 11.45 malam selepas hadir memberikan keterangan.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 24 Februari ini dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, mengesahkan penahanan itu dan berkata, individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN