BATU PAHAT: Seorang pesara guru meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas melanggar sebuah kereta yang memasuki simpang dalam kejadian di Kilometer 145, Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Semerah, dekat sini semalam
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku pukul 3.10 petang itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta dipandu oleh seorang wanita berusia 21 tahun.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu datang dari arah sama, iaitu dari Batu Pahat menghala ke Parit Kuda sebelum kereta dipandu wanita membelok untuk nemasuki simpang sebelah kanan.
“Mangsa, Md. Shah Abdullah, 62, yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian kanan kereta tersebut menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh.
“Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat menggunakan ambulans.
Walau bagaimanapun, warga emas itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN