Persefahaman PRN serentak dijangka dicapai hujung bulan ini - Utusan Malaysia

Persefahaman PRN serentak dijangka dicapai hujung bulan ini

AMINUDDIN Harun mendengar taklimat pembangunan oleh pihak pemaju perumahan ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Bersama Sunrise MCL Land di Forest Height, Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persefahaman berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak di enam buah negeri dijangka boleh dapat dicapai pada hujung bulan ini.

Ia selepas Menteri Besar dan Ketua Menteri enam buah negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing akan menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang akan diadakan pada waktu itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu, dijangka pemimpin keenam-enam negeri terlibat akan mengambil peluang pada mesyuarat tersebut untuk mengadakan pertemuan tidak rasmi di antara mereka bagi membincangkan mengenai pelaksanaan PRN.

Namun Aminuddin menjelaskan, beliau tidak menolak malah bersedia sekiranya pertemuan di antara keenam-enam pemimpin negeri itu boleh diadakan lebih awal.

“Masih belum berjumpa lagi, kami akan ada Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri pada hujung bulan ini, ia akan dibincangkan secara tidak rasmi di situ, insya-Allah, jika mereka mahu segera, (pertemuan) ia akan diadakan lebih awal, tidak apa-apa, bila-bila masa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Bersama Sunrise MCL Land di Forest Height, Senawang di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kepemimpinan di enam negeri ‘mencapai persefahaman’ untuk membubarkan DUN masing-masing seawal-awalnya pada bulan Mei ini bagi memberikan laluan kepada PRN.

Katanya, terdapat perbincangan tidak rasmi beliau dengan kepemimpinan Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi menentukan tarikh PRN.

Jelas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu lagi, faktor tidak akan berlaku pembubaran DUN seawal bulan Mac dan April disebabkan ketibaan bulan Ramadan yang dijangka pada 23 Mac ini dan sambutan Aidilfitri kira-kira sebulan kemudian serta selepas itu tibanya musim mengerjakan haji dan Hari Keputeraan Sultan Kedah pada 18 Jun.

Beliau menambah, PRN berkenaan memang penting untuk dijalankan serentak kerana mampu membawa penjimatan selain memudahkan semua pihak terutama pengundi yang tinggal jauh dari tempat mengundi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya memberikan cadangan supaya pembubaran DUN bagi negeri lain dapat dilakukan pada 1 Jun depan kerana tarikh itu penggal DUN Negeri Sembilan berakhir pada tarikh berkenaan.

“Jika selepas 18 Jun, tiada masalah, bulan Jun adalah okay, bulan Mei, bulan terakhir (penggal) DUN Negeri Sembilan, mungkin bubar awal seminggu, dua, maknanya boleh bersama, lebih kurang.

“Akhirnya terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menetapkan bilakah PRN, kena dalam tempoh 60 hari, jika kami awal pun, PRN boleh disekalikan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya