SEREMBAN: Sebuah kereta Perodua Myvi menghempap sebuah kereta jenis Perodua Kancil dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Seremban-Tampin sebelum lampu isyarat Taman Bukit Emas di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial gambar kemalangan tersebut yang memaparkan kereta Perodua Myvi berwarna biru menghempap bahagian atas kereta Perodua Kancil.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kemalangan pada pukul 9.50 pagi itu melibatkan sebuah lori dan tiga buah kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Kancil dan Toyota Estima.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Hino tanpa muatan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 60 tahun sedang bergerak dari arah Kawasan Perindustrian Ringan Senawang menuju ke arah bandar Seremban.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu oleh mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun dari arah yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanda berkata, akibat pelanggaran itu, kereta Perodua Kancil yang dilanggar telah menggelungsur ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 33 tahun dan sebuah kereta Toyota Estima dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun yang ketika itu berada di hadapannya.
“Bagaimanapun, dalam kemalangan ini tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan. Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.-UTUSAN.