PASIR PUTEH: Sekumpulan penyeludup bertindak meninggalkan 410,000 batang rokok putih berhampiran Galeri Tengku Anis, Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini selepas kegiatan haram mereka itu berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan kelmarin.
Rampasan rokok bernilai RM428,450 itu dilakukan oleh Maritim Malaysia Kelantan pada pukul 4 pagi selepas bertindak atas maklumat risikan.
Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nur Adli Syed Ab. Rahman berkata, sebelum itu pada pukul 3.45 pagi pihaknya telah mengesan sebut bot yang di kemudi dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Pengkalan Kubur.
Menurutnya, anggota bertugas terus mengekori bot berkenaan sehingga ke kawasan Galeri Tengku Anis dan hasil pemerhatian mendapati kumpulan penyeludup sedang memindahkan bungkusan plastik hitam ke tebing sungai.
“Menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia Kelantan, kumpulan tersebut terus bertindak meninggalkan lokasi dengan memecut laju bot dan kemudian memasuki perairan negara jiran.
“Hasil pemeriksaan di lokasi telah menjumpai 41 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 2,050 karton rokok putih,” katanya semasa sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, di Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Adli memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok tersebut diambil dari kapal kargo yang berada di tengah laut sempadan negara.
Katanya, kemudian rokok-rokok tersebut akan dipunggah dalam skala kecil menggunakan bot pancung ke kawasan daratan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Maritim Malaysia Kelantan akan terus meningkatkan pemantauan dan risikan bagi memastikan kegiatan yang menyalahi undang-undang menggunakan jalan laut berjaya dibanteras,” ujarnya-UTUSAN