Penjawat awam, suami isteri antara sembilan diberkas, rampas dadah lebih RM1 juta - Utusan Malaysia

Penjawat awam, suami isteri antara sembilan diberkas, rampas dadah lebih RM1 juta

M. KUMAR menunjukkan bungkusan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta yang dirampas daripada sembilan ahli sindiket termasuk seorang penjawat awam dan pasangan suami isteri dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dan pasangan suami isteri antara ahli sindiket dadah yang diberkas dalam sembilan serbuan di tiga daerah melibatkan rampasan dadah lebih RM1 juta pada 8 Februari lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, serbuan secara serentak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bermula pukul 12 tengah hari pada Rabu lalu hingga 2 pagi Khamis di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.

“Menerusi operasi khas tersebut enam lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 34 tahun termasuk seorang penjawat awam berusia 33 tahun ditahan. Selain itu tiga wanita tempatan berusia 24 sehingga 27 tahun turut ditahan. 

“Hasil semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan pihak polis merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 21 peket syabu seberat 24.69 kilogram (kg) bernilai RM888,912, 10 peket heroin seberat 3.56kg bernilai RM47,717 dan 337 gram (g) ketamin bernilai RM50,550.

Turut dirampas 2,540 biji pil Eramin 5  seberat 787.58g bernilai RM59,058, 1.20 liter air ketum (RM30) dan 70 bungkusan mengandungi mercun bola.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM1,046,277 dan semua bahan terlarang yang dirampas itu boleh digunakan seramai 145,490 penagih.

Selain itu, pihak polis turut menyita enam kereta dengan nilai sitaan RM582,000, empat motosikal (RM57,000), pelbagai barang kemas (RM11,856) dan wang tunai RM2,710 dengan jumlah keseluruhan sitaan RM653,566.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi berkenaan ialah RM1,699,843.

Katanya, modus operandi pengedaran dadah itu menjadikan kawasan rumah berpagar dan berpengawal yang disewa selain menggunakan kereta ahli keluarga untuk menjalankan jenayah tersebut.

Semua suspek merupakan kenalan dan pihaknya sedang mengesan saki-baki anggota sindiket tersebut yang dipercayai masih bebas termasuk menyiasat dalang, katanya sambil memaklumkan semua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 14 Februari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya