Pengawal keselamatan, pelajar tahfiz didakwa sebabkan kematian lelaki di Masjid Pulau Melaka

Pengawal keselamatan, pelajar tahfiz didakwa sebabkan kematian lelaki di Masjid Pulau Melaka

TERTUDUH (tengah) diiringi polis selepas tiba untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan bersama seorang pelajar tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki kurang siuman di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka di sini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Sabri Yusoff, 33 dan seorang remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian kepada Syhakahalaf Akram Mohd. Zakuwan, 28.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka kira-kira pukul 6.55 petang di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka di sini pada 29 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca dengan Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pelajar tahfiz itu, remaja tersebut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001 jika disabitkan atas kesalahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zamri Mat Nawang. 

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Zamri dalam rayuannya memohon kedua-dua anaknya dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd. Sabri diikat jamin sebanyak RM20,000 manakala pelajar tahfiz itu RM8,000 masing-masing dengan seorang penjamin. 

Mahkamah turut menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental maut semasa bergelut dengan pengawal keselamatan selepas mengamuk di kawasan Masjid Pulau Melaka.

Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku apabila mangsa selesai menunai solat asar di masjid berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa kemudiannya mengamuk sebelum pengawal keselamatan yang bertugas di masjid itu datang untuk menahan lelaki tersebut sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Semasa berlaku pergelutan, beberapa pelajar Maahad Tahfiz Tok Guru telah membantu pengawal keselamatan itu. Selepas berjaya menahan mangsa, pelajar tahfiz itu telah melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

“Semasa anggota polis tiba di lokasi kejadian, mangsa berada dalam keadaan terbaring dan sudah meninggal dunia. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN