SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia kini masih lagi dalam proses mengenal pasti pemilik tanah yang telah dijadikan kawasan penempatan haram warga asing di dalam kawasan hutan di Nilai, di sini yang diserbu jabatan tersebut, kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang ketika dihubungi memberitahu, siasatan masih sedang berjalan dan akan melihat daripada pelbagai sudut termasuk berkaitan pemilik tanah tersebut serta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah ditahan dalam serbuan itu.
“Kami sedang membuat semakan dengan pihak pejabat tanah untuk kenal pasti pemilik tanah, siasatan sedang berjalan dan saya masih menunggu dapatan daripada siasatan itu.
“Kami akan lihat daripada semua sudut, termasuk lokasi tanah dan pemiliknya termasuk lokasi tanah dan pemiliknya. Tidak terkecuali menyiasat status sebenar PATI yang ditahan iaitu latar belakang mereka seperti berapa lama mereka sudah berada di negara ini, ia maklumat asas yang perlu kami ketahui bagi melengkapkan kertas siasatan nanti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 67 orang PATI termasuk 36 orang kanak-kanak telah ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing yang terletak 1.2 kilometer di dalam hutan di Nilai Spring, Nilai di sini pada 1 Februari lalu.
Operasi yang turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu turut mendapati kawasan tersebut terletak di permukaan yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.
Dalam operasi yang bermula pukul 1.30 pagi itu turut mendapati, perkampungan haram tersebut memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik.
Operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan itu turut menemukan beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.
Sementara itu, Ai Kiang berkata, pihaknya akan sentiasa memantau lokasi penempatan haram tersebut terutama sekiranya terdapat kehadiran semula warga asing di kawasan itu.
“Operasi susulan masih belum dilaksanakan tetapi memang akan sentiasa memantau tempat tersebut termasuk di kawasan sekitar,” katanya lagi.-UTUSAN.