SEREMBAN: Laporan mengenai serbuan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing di dalam hutan di Nilai di sini semalam amat mengejut dan mengecewakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tegas beliau, perkara berkenaan tidak sewajarnya berlaku dan ia seharusnya dapat dikenal pasti oleh pihak berkuasa lebih awal.
“Ia sudah wujud lama tetapi hanya baru dikenal pasti, di mana pihak berkuasa yang sepatutnya bertindak untuk kenal pasti dan cari maklumat? Kini terbongkar setelah sekian lama, dengan ada anak kecil, ibu malah ada sekolah, saya harap tidak berulang.
“Saya harap semua pihak berkuasa, tidak kira, polis, Imigresen, pihak berkuasa tempatan, supaya semak apa juga aduan, harus diambil tindakan segera. Saya tidak mahu, apabila ada perkampungan yang sudah lama, masa itu susah untuk kita pindahkan mereka.
“Saya ingatkan sekali lagi, ini tidak seharusnya berlaku, harap ia tidak berulang lagi di Negeri Sembilan, ini bukan isu kecil tetapi isu yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kepada pemberita dalam satu majlis di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, seramai 67 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 36 orang kanak-kanak ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing yang terletak 1.2 kilometer di dalam hutan di Nilai Spring, Nilai di sini.
Operasi yang turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu turut mendapati kawasan tersebut terletak di permukaan yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.
Dalam operasi yang bermula pukul 1.30 pagi itu turut mendapati, perkampungan haram tersebut memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik.
Operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan itu turut menemukan beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.
Aminuddin dalam pada itu berkata, pihaknya akan memanggil semua pihak terlibat dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara tersebut.-UTUSAN.