SEREMBAN: Tangkapan seramai 67 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram yang terletak di dalam kawasan hutan di Nilai, kelmarin sesuatu yang mengejutkan.
Lebih memeranjatkan, perkampungan warga asing dari Indonesia yang berkeluasan dua padang bola sepak itu turut dilengkapi dengan struktur bangunan yang dijadikan kedai runcit malah sekolah bagi kegunaan kanak-kanak yang turut tinggal di kawasan tersebut.
Ia sekali gus menunjukkan penempatan haram itu berkemungkinan sudah lama berada di kawasan itu tanpa dapat dihidu oleh pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, pihaknya menganggarkan terdapat di antara 100 sehingga 120 orang PATI tinggal penempatan itu yang mungkin sudah didirikan beberapa tahun sebelum ini.
“Pada malam (operasi) tersebut mungkin ada yang tidak berada di dalam kawasan itu, mungkin ada yuang berada di luar dan tidak balik. Berkemungkinan juga ada yang berjaya lolos semasa serbuan tersebut.
“Terdapat lebih kurang 30 struktur binaan di dalam kawasan itu, termasuk dijadikan rumah, stor, termasuk binaan yang dijadikan sekolah untuk mengajar kanak-kanak yang ada di penempatan berkenaan. Hasil siasatan, pihak yang mengajar kanak-kanak berkenaan bukanlah datang dari luar sebaliknya mereka yang turut tinggal di situ,” katanya lagi.
Media kelmarin melaporkan, seramai 67 orang PATI termasuk 36 orang kanak-kanak telah ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing yang terletak 1.2 kilometer di dalam hutan di Nilai Spring, Nilai di sini.
Operasi yang turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu turut mendapati kawasan tersebut terletak di permukaan yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.
Dalam operasi yang bermula pukul 1.30 pagi itu turut mendapati, perkampungan haram tersebut memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik.
Operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan itu turut menemukan beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.
Sementara itu, Ai Kiang berkata, pihaknya kini masih lagi dalam menjalankan siasatan terutama bagi mengenal pasti status pemilik tanah tersebut supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
“Sekarang ini masih dalam tindakan siasatan untuk kenal pasti, sama ada milik persendirian atau tanah kerajaan, jika tanah kerajaan kami akan hubungi pihak berkuasa tempatan untuk ambil tindakan meroboh atau sebagainya. Jika milik persendirian atau swasta, kami akan panggil pemiliknya ke pejabat untuk diambil keterangan dan tindakan seterusnya diambil.
“Selepas diambil tindakan semalam, saya telah arahkan pegawai-pegawai di unit penguatkuasaan untuk buat pemantauan dari semasa ke semasa termasuk menggunakan dron. Kami masih memantau sehingga kes ini selesai selain bagi memastikan tiada pergerakan masuk warga asing di kawasan itu,” katanya lagi.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati rata-rata warga asing yang tinggal itu tidak tetap bekerja di sesuatu tempat namun kebiasaannya terlibat dalam sektor perladangan, pembinaan malah ada juga yang melakukan aktiviti berburu.
“Kami jumpa senjata tajam, mungkin digunakan untuk berburu dan menjaga keselamatan mereka di situ, saya yakin ia tidak digunakan untuk melakukan jenayah dan rusuhan. Syukur semasa serbuan itu tiada kejadian buruk dan mereka tidak ambil senjata untuk melawan, hanya bertindak agresif untuk melarikan diri tetapi berjaya kami kawal,” katanya.
Ai Kiang menambah, operasi yang dilakukan kelmarin antara yang terbesar dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Negeri Sembilan setakat ini yang melibatkan penempatan haram seumpamanya iaitu berada di luar kawasan tapak pembinaan dan sebagainya.
Kesemua warga asing tersebut yang didapati melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan pintu masuk ke penempatan haram itu merupakan tapak pembinaan dan perlu melalui jalan tanah merah untuk masuk ke dalam.
Permukaan tanah di kawasan itu juga tidak rata dan dari jauh dapat dilihat penempatan haram itu yang dikelilingi pokok kelapa sawit dan hutan.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui kecewa dan terkejut dengan laporan terdapatnya penempatan haram warga asing tersebut serta menyifatkan ia tidak wajar berlaku dan seharusnya dapat dikenal pasti oleh pihak berkuasa lebih awal.-UTUSAN.