MERSING: Polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemuda yang tidak pulang ke rumah dan disyaki hilang di Pulau Mawar, dekat sini sejak 1 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan tentang penemuan sebuah motosikal milik mangsa, Muhamad Akmal Hakimi Ishak berumur 19 tahun yang dilaporkan masih tidak pulang ke rumahnya di Kluang.
Laporan tentang kehilangan lelaki berkenaan dibuat oleh bapanya di Balai Polis Kluang pada kelmarin.
“Motosikal mangsa yang merupakan seorang penuntut di sebuah pusat pengajian tinggi swasta telah ditemukan di kawasan berhampiran Pulau Mawar, Mersing dalam keadaan baik dan tidak berkunci.
“Berdasarkan penemuan ini, pihak polis telah melancarkan SAR mengesan pemuda itu bermula pukul 5 petang semalam.
“Operasi ini melibatkan 22 anggota dan pegawai dari IPD Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Endau serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing. Operasi peringkat awal melibatkan pencarian di kawasan hutan dan pesisiran pantai,” katanya ketika dihubungi di sini.
Walau bagaimanapun operasi tersebut dihentikan pada pukul 7 malam tadi atas faktor keselamatan ekoran cuaca gelap dan hujan serta disambung semula mulai pukul 8 pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner, Bahrin Mohd. Noh berkata, berdasarkan laporan dibuat ayah mangsa, Ishak Kamis, 50, memaklumkan anaknya keluar dari rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave 125 berwarna merah bernombor pendaftaran BQA 3464.
Beliau berkata, selepas keluar anaknya itu gagal dihubungi sebelum usaha mencari di rumah kawan-kawannya di bandar ini dilakukan namun gagal ditemukan.
“Menurut pengadu, anaknya adalah seorang penuntut universiti swasta di Kuala Lumpur dan sedang bercuti semester selama sebulan.
“Laporan penemuan sebuah motosikal di Pulau Mawar di Endau oleh orang awam adalah bersabit dengan aduan yang dilakukan oleh pengadu,” katanya. – UTUSAN