KOTA BHARU: Pasar Terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian di sini yang memulakan operasi secara rasminya semalam menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.
Pasar terapung dikendalikan oleh Abam Peah Holdings Sdn. Bhd merupakan yang keempat diwujudkan selepas Pasar Terapung Pulau Suri dan Sri Tanjung di Tumpat serta Pengkalan Datu, Kota Bharu.
Pengarahnya, Azli Mohd. Noor berkata, pasar terapung ini merupakan khidmat sosial pihaknya dalam membantu menggerakan ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti urus niaga.
Menurutnya, permulaan dia memberikan sedikit sumbangan modal kepada peniaga untuk memulakan perniagaan mereka di pasar terapung ini.
“Pasar ini dibuka setiap hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu bermula 3 petang hingga 7 malam dengan melibatkan seramai 20 peniaga.
“Kesemua peniaga ini akan duduk di atas perahu yang telah disedia oleh pihak kami,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Nor Azli memberitahu, dia memilih untuk menjadikan kawasan ini sebagai tarikan pelancongan kerana ia mempunyai keindahan alam semula jadi.
Katanya, pada waktu malam orang ramai dapat melihat kelip-kelip dengan menyelusuri sungai menggunakan bot.
“Besar harapan saya agar, pihak kerajaan dapat membangunkan kawasan ini sebagai salah satu produk pelancongan di Kelantan,” ujarnya.
Sementara itu seorang pengunjung, Mohd. Saiful Nizam Roslee berkata, selain keindahan alam semula jadi pasar terapung ini turut menyajikan pilihan makanan yang menarik.
Katanya, dia berharap lebih banyak aktiviti kesenian dan kebudayaan dapat ditonjolkan sebagai salah satu tarikan kepada orang ramai.-UTUSAN