SEGAMAT: Seekor lembu yang sarat bunting mengalami kecederaan dipercayai diserang harimau belang di sekitar kebun sawit di Kampung Paya Kepuh, Mukim Labis, dekat sini Selasa lalu.
Pemiliknya, Md. Yusuf Arshad, 59, menyedari lembu itu mengalami kesan cakaran kuku pada belakang badan kira-kira pukul 4.30 petang, Selasa lalu berhampiran kebun sawit milik keluarganya di kampung tersebut.
“Pada mulanya saya sangka luka itu disebabkan lembu bergaduh, tetapi apabila saya periksa betul-betul, saya terkejut melihat ada kesan luka sepanjang 10 sentimeter di belakang badannya.
“Saya terpaksa mengurung lembu itu di pondok kerana bimbang binatang buas berkenaan mampu menghidu darah kesan luka dan mencari serta memburu empat ekor lembu yang lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Md. Yusuf memberitahu, pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Segamat ada menjejaki harimau belang itu.
“Setakat ini saya mengambil langkah keselamatan dengan hanya memerhatikan kawanan lembu dari jauh. Pada waktu malam saya buat unggun api bagi menakutkan binatang berkenaan supaya tidak menghampiri kawasan kebun dan kawanan lembu saya,” katanya sambil memberitahu pemangsa adalah harimau belang berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemukan di sekitar lokasi berkenaan.
Seorang lagi penduduk kampung, Ahmad Amaluddin Mohd. Jelani, 36, mengakui kini takut untuk ke kebunnya selepas mengetahui berita kehadiran harimau di kawasan tersebut.
“Jarak kebun saya kira-kira 14 kilometer dari kebun tempat kejadian itu, tetapi kita tahu harimau boleh berjalan jauh. Jadi, sebagai langkah keselamatan, saya membawa mercun apabila saya ke kebun setiap hari sejak semalam selain parang dan kayu,” katanya.
Sementara itu, Perhilitan Johor menasihatkan penduduk kampung supaya berjaga-jaga dengan kehadiran seekor harimau belang di kampung berkenaan.
Pengarahnya, Aminuddin Jamin ketika dihubungi memberitahu, pasukannya sedang menyiasat dan mengesan kehadiran harimau belang berkenaan.
“Tindakan, tinjauan dan pemantauan sedang dijalankan dengan bantuan penternak lembu berkenaan. Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta jangan cuba mengambil tindakan sendiri dengan mendekati harimau belang itu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah turut mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan. – UTUSAN