OKU teruja terima rumah YASA kurniaan Agong - Utusan Malaysia

OKU teruja terima rumah YASA kurniaan Agong

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan bergambar bersama Mohd. Khairi Othman dan isteri serta anaknya selepas Seri Paduka berkenan menyampaikan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Tanjung Pulai di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penerima rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang juga orang kurang upaya (OKU) teruja apabila menerima bantuan kediaman baharu kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Tanjung Pulai di sini.

Seri Paduka berkenan mencemar duli menyerahkan kunci rumah itu sekali gus beramah mesra dengan penduduk sekitar kawasan tersebut hari ini.

Penerima rumah YASA, Mohd. Khairi Othman, 47, berkata, dia tidak pernah menyangka akan mendapat sebuah rumah baharu lebih-lebih lagi merupakan kurniaan diraja.

Beliau yang merupakan OKU cacat kedua-dua belah kakinya sejak lahir berkata, kurniaan itu disifatkan sebagai rezeki terbesar yang pernah diterimanya setakat ini.

“Tuanku (Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) memang sangat prihatin tentang rakyat.

“Saya memang tak sangka (akan dapat rumah ini), (ini bukti) keprihatinan Tuanku kepada rakyat. Dan mungkin Tuanku tengok saya macam ini (OKU), baginda tersentuh hati kerana Tuanku memang sangat sayang kepada rakyat.

“Dengan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuanku kerana sudi memberikan saya sebuah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program penyerahan rumah oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Kampung Tanjung Pulai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khairi berkata, Al-Sultan Abdullah pernah bertanya tentang situasi banjir dialaminya di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiaminya sebelum ditawarkan untuk membina rumah baharu tersebut.

“Masa Tuanku bersembang dengan saya, Tuanku terus tanya, saya nak bagi awak rumah, awak nak tak? Saya terkejut juga sebab ingat sembang-sembang biasa sahaja.

“Tuanku tanya saya ada tanah tak, kalau ada saya nak bagi rumah, saya cakap saya ada tanah ini (tapak rumah YASA) yang arwah ayah.

“Saya rasa Ya Allah besarnya rezeki dapat bertemu sendiri dengan Tuanku dan dapat rumah ini,” katanya.

Kediaman baharu itu merupakan rumah setingkat jenis bertiang dengan keluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, satu bilik air selain dilengkapi ruang makan dan perabot dengan luas keseluruhan 78 meter persegi bernilai RM150,000.

Rumah yang dibina dengan ciri mesra OKU itu turut menempatkan sebuah bilik serbaguna seluas sembilan meter persegi yang akan dijadikan kedai Mohd. Khairi berniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya