NC UMP umum lapan iltizam melestari kecemerlangan UMP - Utusan Malaysia

NC UMP umum lapan iltizam melestari kecemerlangan UMP

YUSERRIE Zainuddin (depan, tengah) bersama dekan dan ketua jabatan yang bertanggung jawab dalam memandu Pelan Strategik UMP 2021-2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin mengumumkan lapan iltizam dan azam bagi melestari kecemerlangan dalam kualiti akademik, pembangunan penyelidikan dan perkhidmatan agar institusi pengajian tinggi (IPT) itu terus diiktiraf di persada dunia.

Iltizam itu adalah Memacu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pemerkasaan Mahasiswa, Melonjak Kebitaraan Akademia, Penyelidikan Berimpak, Mensejahterakan Komuniti, Agenda Pembangunan Bakat, Kemampanan Kewangan, Kelestarian Ekosistem dan Membangunkan Ekosistem Inklusif.

Menurut Yuserrie, untuk iltizam pertama, UMP sebagai universiti dalam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan melaksanakan 60 peratus program berasaskan TVET dan 40 peratus Kejuruteraan menjelang 2025 melalui tiga inisiatif.

“Pertama, semakan semula program akademik agar bersesuaian dengan keperluan program yang berasaskan TVET. Yang kedua, mewujudkan lebih banyak program akademik baharu yang berasaskan TVET dan yang ketiga, membangunkan mekanisme pengukuran baharu bagi mengukur pelaksanaan program akademik yang berasaskan TVET.

“UMP juga sentiasa menjaga kualiti program akademiknya untuk memastikan para graduannya dilengkapi dengan pengetahuan teknikal yang relevan serta dapat memenuhi kehendak sektor industri utama negara supaya ekonomi negara ini kekal berdaya saing di peringkat global.

“Kita akan terus berusaha untuk meningkatkan keupayaan institusi dan sistem TVET agar terus kekal kompetitif dan menepati kehendak pasaran. Sokongan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pelbagai agensi dalam pelaksanaan sistem akreditasi yang diharmonikan dengan jaminan kualiti membolehkan mobiliti pelajar dalam institusi TVET termasuklah MTUN berjaya,” katanya di sini hari ini.

Yuserrie berkata, UMP juga akan meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan melalui pendekatan mengupayakan industri untuk menerajui pembangunan kurikulum, menghapuskan pertindihan program dan sumber, meningkatkan keberkesanan kos serta memperluas pembiayaan TVET bagi meningkatkan enrolmen.

“Bagi agenda pemerkasaan mahasiswa UMP melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan memberikan tumpuan terhadap lima fokus iaitu Digital Native, kesatuan pelajar, perniagaan pelajar, kedewasaan mahasiswa dan memanusiakan manusia.

“Justeru itu, dalam usaha untuk memastikan fokus pemerkasaan mahasiswa berupaya direalisasikan, universiti akan melaksanakan inisiatif pembinaan citra dan jati diri A.D.A.B. dan pemerkasaan ekosistem pembangunan pelajar serta pengalaman kehidupan kampus.

“Turut diberi perhatian memaknakan fungsi kesatuan pelajar, model baharu bisnes siswa dan skim pembiayaan mikro UMP, mewujudkan skim perantisan siswa, dan mempromosikan Gap Year dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Beliau juga turut memberikan tumpuan terhadap inisiatif untuk membangunkan Model Pembangunan Bakat yang mampan serta bagi warga akademik dan pentadbir.

Menurutnya, dalam pembangunan bakat berasaskan Model National Top Talent ini akan tertumpu kepada perancangan penggantian pengurusan utama universiti dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pentadbir UMP mengikut acuan serta budaya yang berteraskan nilai teras universiti.

“Sementara itu, bagi memastikan kemapanan kewangan universiti ini, terdapat dua inisiatif utama iaitu penubuhan kursi dan pengukuhan dana endowmen yang disumbangkan oleh penderma kepada universiti untuk menyokong pelbagai program dan inisiatif universiti seperti penyelidikan, program bantuan kewangan, pengembangan akademik dan lain-lain,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, UMP berjaya melahirkan seramai 38,462 alumni yang sudah menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka kepada masyarakat serta pembangunan negara.

“Kebolehpasaran graduan UMP pula mencatat peningkatan kepada 98.67 peratus bagi 2022 merupakan tertinggi setakat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya