KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (Muip) menubuhkan Perbadanan Wakaf sebagai organisasi khusus yang akan menyelaras tadbir urus wakaf di negeri ini pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, perbadanan tersebut masih dalam proses pemantapan khususnya berhubung aspek pengurusan.
“Buat masa ini urusan pentadbiran mengenai wakaf diuruskan Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) kerana mekanisme pengurusan zakat dan wakaf adalah hampir sama.
“Jadi, mengikut perancangan, pengurusan wakaf oleh perbadanan itu akan dapat direalisasikan dalam masa dua tahun lagi.
“Setakat ini terdapat 360 lot tanah serta dana sebanyak RM2 juta diwakafkan pelbagai pihak yang diuruskan oleh PKPZ,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Hairi berkata, Muip turut mensasarkan kutipan dana wakaf RM3 juta bagi tahun ini.
Jelasnya lagi, diharap madrasah dan surau di negeri ini yang ada menguruskan tanah wakaf supaya berdaftar dengan PKPZ selari dengan Enakmen Wakaf yang diluluskan pada 13 Oktober tahun lalu.
“Masih banyak madrasah dan surau di negeri ini belum membuat pendaftaran wakaf dan kita akan lebih proaktif bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan segera.
“Sebelum ini berlaku isu apabila ada pihak telah berwakaf namun dituntut waris selepas kematian pewakaf disebabkan tiada perjanjian bertulis maka urusan pendaftaran itu perlu bagi mengelak sebarang masalah berbangkit dikemudian hari,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, bersempena dengan Bulan Zakat dan Wakaf ini, pihaknya sudah merangka 101 program mempromosikan zakat dan wakaf sepanjang sambutan itu.
Katanya, melalui cara itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Islam di negeri ini terutama dalam kalangan bakal pembayar zakat.
“Antara program dirancang termasuk seminar wakaf bersama pihak sekolah pondok, tahfiz, institut pengajian tinggi (IPT), taklimat, ceramah dan khutbah, program kunjungan peniaga, sidang meja bulat bersama prospek zakat dan wakaf serta program promosi lain,” katanya. – UTUSAN