Mohd. Shafie dakwa tiga ADUN Warisan'dibeli': GRS tuntut bukti

Mohd. Shafie dakwa tiga ADUN Warisan’dibeli’: GRS tuntut bukti

MOHD SHAFIE APDAL dan LO SU FUI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuntut supaya Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menarik semula dakwaan bahawa gabungan itu telah ‘membeli’ tiga wakil rakyatnya yang melompat parti baru-baru ini. 

Lo Su Fui (GRS-Tawau) meminta bukti bagi menyokong dakwaan Mohd. Shafie kerana kenyataan tersebut disifatkan tidak berasas selagi beliau tidak menunjukkan bukti-bukti yang kukuh. 

Bagaimanapun, Mohd. Shafie juga Ahli Parlimen Semporna menyatakan pendirian bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan telah dibeli GRS supaya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. 

Beliau juga berhujah sambil menunjukkan telefon bimbitnya di hadapan semua Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. 

Su Fui: Adakah bukti pembelian tiga ADUN Warisan ini? Kalau boleh tarik balik fitnah ini. 

Mohd. Shafie: ADUN Kunak, di telefon ini dia cakap yang telah nyatakan bahawa telah dihubungi (oleh GRS). 

Su Fui: Kalau ada bukti, bawa ke mahkamah, jangan mahu fitnah di sini (Parlimen). 

Mohd. Shafie: Penguatkuasa yang ada, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jabatan-jabatan lain siasatlah. Benarkah atau tidak? 

Beliau membangkitkan perkara itu semasa Perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini. 

Warisan kembali goyah apabila tiga ADUNnya mengumumkan keluar daripada parti itu, pada 6 Februari lalu. Tiga ADUN berkenaan ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Norazlinah berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segenap sudut serta hala tuju perjuangan parti Warisan termasuk pandangan akar umbi di kawasan DUN yang diwakili.

Bagaimanapun, pada 16 Januari lalu, Norazlinah menafikan keluar parti selepas ada desas-desus mengaitkan namanya antara enam ADUN Warisan yang didakwa akan keluar parti.

Sebelum ini, enam ADUN Warisan telah bertindak keluar dari parti dan menyertai parti lain iaitu Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan).-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya