TANGKAK: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak 20 Januari lalu ketika bersiar-siar di Kampung Parit Jarum Laut, Bukit Gambir, dekat sini.
Mohd. Nasir Karto, 61, dikatakan keluar dari rumahnya pada pukul 8 pagi dan tidak pulang hingga hari ini.
Nurin Mansoor, 34, berkata, bapa saudaranya itu mengalami masalah mental sejak beberapa tahun lalu dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 21 Disember 2012.
“Kebiasaannya setiap pagi dia hanya berjalan-jalan di sekitar kampung dan pulang pada waktu senja, namun kali ini hilang secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Bapa saudaranya tinggal di rumah pusaka seorang diri, namun dia serta adik beradik yang lain kerap menziarahinya.
Pihaknya telah membuat laporan tentang kehilangan Mohd. Nasir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak pada 21 Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat ketika dihubungi berkata, operasi mencari mangsa dijalankan bersama-sama waris dan penduduk kampung, namun hingga kini belum menemukan mangsa.
“Kali terakhir keluar dari rumah, warga emas berkenaan memakai baju kemeja berwarna hitam putih petak kecil dan berseluar panjang gelap,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa boleh menghubungi IPD Tangkak menerusi talian 06-9781222. – UTUSAN