Mekanik bawah pengaruh dadah maut motosikal rempuh trak pikap

Mekanik bawah pengaruh dadah maut motosikal rempuh trak pikap

KEADAAN motosikal milik mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Padang Kala, Kota Bharu, Kelantan semalam.-UTUSAN/IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang mekanik maut apabila menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah sebelum merempuh sebuah trak pikap yang berada di bahu Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Padang Kala di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa yang berusia 28 tahun meninggal dunia kira-kira dua jam selepas nahas semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, lelaki itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dari arah Melor ke Pasir Tumboh melalui Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu sebelum merempuh besi bampar kanan pada bahagian sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang berada di bahu jalan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terbaring di atas jalan raya manakala motosikalnya terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda tersebut.

“Siasatan mendapati, pemandu trak pikap yang berusia 40 tahun itu sedang minum di sebuah warung yang terletak tidak jauh kenderaannya,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa yang cedera parah pada bahagian dada dibawa ke HUSM sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.47 petang.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap mangsa mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah sehingga menyebabkan nahas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya